Kerjaya Mohd Khairuddin Aman Razali

Dunia Pendidikan

Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Setelah menamatkan pengajian Sarjana di awal tahun 2000, beliau dilantik sebagai Pensyarah di Fakulti Bahasa UIAM sehingga tahun 2002.

Beliau mendapat tawaran sebagai pensyarah bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana ingin bertugas di UKM. Beliau bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002, dan menjadi Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Pada Ogos 2008, beliau meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.

Dunia Korporat

Beliau mengusahakan sebuah syarikat pengeluaran, pengilangan dan pemasaran produk kosmetik dan makanan kesihatan iaitu RD Beauty Industries Sdn Bhd dan menjadi Pengarah pada 2008 sehingga 2020. Semasa masih bertugas di universiti, beliau turut mengusahakan sebuah syarikat penerbitan buku, Darul Fuqaha Enterprise bermula 2002 hingga 2013. Beliau turut aktif dalam bidang hartanah dan pembinaan apabila menjadi Pengarah bagi DUPP Management Sdn Bhd (2010-2020) dan Lepu Development Sdn Bhd (2018-2020). Dalam pada itu, beliau juga pernah menjadi pengurus di Al Marabi Management pada 2004 hingga 2013, iaitu syarikat berupa butik pakaian, penyediaan makanan, restoran, bakeri & pengurusan Umrah & Haji.